PETALING JAYA: Jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset terus memperkukuh pasaran di Borneo menerusi pembukaan cawangan terbaharu di pusat beli-belah Imago, Kota Kinabalu, Sabah.

Pembukaan cawangan ke-26 itu sekali gus menandakan peluasan operasi jenama berkenaan ke Kota Kinabalu, selain menawarkan pengalaman membeli-belah secara fizikal kepada pelanggan di Sabah.

Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul berkata, Negeri Di Bawah Bayu sememangnya antara pasaran yang mencatatkan sambutan memberangsangkan khususnya menerusi jualan di platform dalam talian.

Ujarnya, pembukaan butik di Imago memberi peluang kepada pelanggan untuk melihat sendiri kualiti fabrik, mencuba koleksi pakaian serta mengenali identiti jenama itu dengan lebih dekat.