JAKARTA: Sekumpulan kanak-kanak di Indonesia mencuri perhatian selepas sebuah video tular memaparkan mereka bermain dengan seekor ular sawa gergasi hidup, malah menjadikan badan reptilia itu seperti permainan gelongsor.

Rakaman mengejutkan itu menunjukkan kanak-kanak berkenaan bergilir-gilir memanjat badan ular sebelum meluncur turun sambil ketawa dan berseronok.

Lebih membimbangkan, beberapa orang dewasa turut kelihatan berada berhampiran lokasi kejadian tanpa cuba menyelamatkan kanak-kanak itu atau menghalau haiwan berkenaan. Malah, ada antara mereka dilihat merakam kejadian menggunakan telefon bimbit.

Berdasarkan ciri fizikalnya, ular berkenaan dipercayai spesies ular sawa batik yang dianggarkan sepanjang enam meter dan berada di kawasan cerun tanah.