Kota Bharu: Hampir 50 pengamal media dari Kelantan berpeluang merasai sendiri pengalaman percubaan perjalanan menaiki Tren Electric Multiple Unit (EMU) Ekspres Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi perjalanan dari Stesen Kota Bharu ke Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, hari ini.

Bagi wartawan sambilan Bernama, Noornasrin Salsabila Othman, 33, pengalaman menaiki perkhidmatan ekspres itu memberikan perspektif baharu kepada pengamal media mengenai potensi ECRL sebagai alternatif pengangkutan awam yang lebih selesa, moden dan efisien.

"Perjalanan dari satu destinasi ke destinasi lain itu turut memberi peluang kepada mereka untuk melihat sendiri bagaimana projek infrastruktur berskala besar berkenaan mampu memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dari aspek mobiliti, pembangunan ekonomi dan hubungan antara negeri.