KUBANG PASU: Pembinaan Muzium Kedah Tua bukan sahaja bertujuan memelihara khazanah sejarah negeri itu, malah mengangkat semula kegemilangan tamadun awal Kedah untuk tatapan dan penghayatan generasi akan datang.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, khazanah sejarah Kedah itu di samping mencerminkan identiti dan kegemilangan negeri malah menjadi sumber ilmu yang dapat membimbing serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Sehubungan itu, beta berkenan untuk Universiti Utara Malaysia (UUM) membina Muzium Kedah Tua. Muzium itu boleh menggambarkan tamadun Kedah Tua, kepada generasi muda.

“Ini termasuklah hal perkaitan pemerintahan, topografi, sinopsis Kedah Tua dan Tamadun Sungai Batu. Muzium ini juga akan menempatkan artifak pedang, bijih besi, relau besi dan koleksi mata wang,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-39 UUM semalam.