KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) memastikan laporan kewangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diterbitkan secara berkala, khususnya berkaitan projek berkeutamaan tinggi seperti aerotrain, sistem pengendalian bagasi dan pembesaran lapangan terbang.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata status penyahsenaraian MAHB daripada Bursa Malaysia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan ketelusan kepada orang awam.
"Tuntutan ini adalah selari dengan hasrat penggubalan Rang Undang-undang Entiti Milik Kerajaan dan Akta Perolehan Kerajaan sepertimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2027," katanya dalam sidang media selepas membentangkan Penyata Tindakan Susulan Pengurusan Lapangan Terbang Awam di Dewan Rakyat hari ini.









