KUALA LUMPUR: Pertikaian undang-undang berhubung penyingkiran 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan mungkin dapat diselesaikan secara baik susulan persetujuan pihak terbabit untuk mengadakan rundingan berhubung perkara itu.

Susulan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain, menangguhkan pendengaran beberapa permohonan dalam saman berkenaan kepada Rabu ini bagi memberi ruang kepada pihak terbabit meneruskan rundingan.

Peguam yang mewakili 10 bekas EXCO berkenaan, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini.

Perkembangan itu menyusul selepas penarikan balik surat bertarikh 10 November lalu oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan 10 bekas anggota EXCO terbabit yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.