Seremban: Mahkamah Tinggi di sini dimaklumkan bahawa pihak-pihak yang terbabit dalam saman yang menyentuh isu perlembagaan yang difailkan oleh 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan sedang mengadakan rundingan untuk mencapai penyelesaian secara baik.

Perkara itu dibangkitkan ketika prosiding di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili 10 EXCO berkenaan (plaintif) memberitahu mahkamah perkembangan baharu itu susulan surat bertarikh 10 November yang dikemukakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim bersama dengan 10 EXCO kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Mohd Hafarizam berkata, rundingan itu masih berlangsung dan terma penyelesaian yang dicadangkan belum dimuktamadkan kerana pihaknya perlu mendapatkan arahan dan kelulusan daripada anak guamnya.