KUALA LUMPUR: Dakwaan kerugian RM472 juta dana awam membabitkan pelaburan dalam Zetrix AI perlu diperjelaskan bagi memastikan kedudukan sebenar pelaburan institusi berkaitan kerajaan diketahui rakyat.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata, Kementerian Kewangan dan institusi pelaburan terbabit perlu menjelaskan sama ada jumlah berkenaan merupakan kerugian atas kertas atau kerugian sebenar yang telah direalisasikan.

Katanya, perkara itu antara isu yang dibangkitkan Datuk Seri Rafizi Ramli dan memerlukan penjelasan rasmi kerajaan bagi memastikan kepentingan dana awam terus terpelihara.

“Kami menggesa Kementerian Kewangan dan institusi terbabit mendedahkan kedudukan sebenar pegangan saham serta membezakan anggaran kerugian atas kertas daripada kerugian yang telah direalisasikan, sekiranya ada,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.