PETALING JAYA: Dadah seberat 521 kilogram (kg) yang dibawa menggunakan sebuah jet peribadi yang dinaiki seorang rakyat Malaysia dipercayai diseludup dari Laos ke Manila, Filipina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat berkenaan pada awalnya berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang menuju ke Luang Prabang, Laos tanpa membawa sebarang muatan.
Beliau berkata, pesawat itu hanya dinaiki tiga individu iaitu seorang juruterbang warga Singapura, seorang pembantu juruterbang warga Malaysia dan seorang penumpang warga Filipina.
“Dadah yang dirampas adalah untuk pasaran Manila, Filipina dan bukannya pasaran Malaysia.
“Pesawat berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Luang Prabang, Laos tanpa sebarang muatan sebelum dipercayai digunakan untuk membawa muatan dadah tersebut dari Laos ke Manila,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.









