Kuala Lumpur: Rasuah tidak seharusnya dilihat hanya sebagai kesalahan membabitkan wang dalam jumlah besar atau ahli politik, sebaliknya turut merangkumi penyalahgunaan kuasa, jawatan, undi dan pengaruh.
Presiden Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Izlan Hakim Mohd Soleh, 21, berkata, pemahaman mahasiswa mengenai rasuah perlu diperluaskan supaya mereka tidak melihat isu itu dalam skop yang terlalu sempit.
"Mahasiswa memang cukup faham apa itu rasuah dan rasuah itu adalah salah satu jenayah. Tetapi hari ini rasuah hanya tertumpu kepada yang membabitkan jumlah wang besar ataupun ahli politik.
"Kita kena sedar, rasuah ini cukup besar kerana berdasarkan tafsiran SPRM, rasuah bukan hanya melibatkan wang tetapi juga jawatan, undi, pengaruh dan sebagainya," katanya.









