BATU PAHAT – Seorang guru sebuah sekolah menengah di bandar ini mengalami kerugian RM748,326.50 selepas ditipu seorang “polis” dari Bukit Aman sejak Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, wanita berusia 54 tahun itu yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat semalam menyatakan telah dihubungi seorang individu kononnya daripada Hospital Pakar KPJ Rawang.
Katanya, dalam perbualan dengan individu tidak dikenali itu, nama mangsa dikatakan telah digunakan pihak lain untuk membuat tuntutan insuran sebelum perbualan itu “disambung” kepada pihak “polis” dari Bukit Aman.
Jelasnya, setelah tersambung “pegawai polis” tersebut memaklumkan akan membantu mangsa untuk menyelesaikan kes berkenaan dengan syarat menyerahkan kad ATM bank miliknya untuk disiasat oleh pihak Bank Negara Malaysia.









