Muar: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan termasuk melakukan amang seksual fizikal terhadap budak enam tahun serta memiliki bahan pornografi kanak-kanak.

Tertuduh, Mohamad Shahrul Nizam Abdul Rahman, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ketika kejadian di kawasan kebun di Segamat, antara Julai hingga Ogos tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.