Kuala Lumpur: Kejayaan penganjuran saingan Zon Tengah-Selatan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 yang melabuhkan tirainya Ahad lalu diharap menjadi platform melahirkan lebih ramai bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, sambutan menggalakkan sepanjang kejohanan itu membuktikan usaha menyediakan ruang persaingan kepada pemain muda menerusi Liga Takraw Nasional Mekdi mula membuahkan hasil.
Menurutnya, kejohanan itu bukan sekadar mencari juara, sebaliknya menjadi medan mencungkil bakat baharu yang berpotensi menyinar dalam arena sepak takraw negara.
"Alhamdulillah, kita baru sahaja selesai sirkit kedua membabitkan Zon Tengah-Selatan dan sudah pun mendapat juaranya. Kita lihat sambutannya amat menggalakkan dan inilah yang kita mahukan.








