PUTRAJAYA – Pengundi disifatkan wajar mengetahui pemimpin mana bakal dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) sebelum Parlimen dibubarkan sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pas berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berdasarkan sudut akauntabiliti.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Rusdi Omar berkata, gabungan itu tidak semestinya menamakan calon PM sekarang, tetapi selewat-lewatnya sebelum Parlimen dibubarkan memandangkan penggal ini tamat pada Disember 2027.

Beliau berkata, selain itu, gabungan parti itu juga boleh mengumumkan formula seperti parti yang menang kerusi terbanyak boleh menamakan calon PM.