PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Alif Satar berdepan desakan netizen supaya menghentikan promosi sebuah jenama wangian lelaki Indonesia selepas syarikat berkenaan mencetuskan kontroversi menerusi satu hantaran yang menyentuh sentimen kenegaraan dalam media sosial semalam.
Alif, 36, yang sebelum ini dilantik sebagai duta produk terbabit turut menerima tempias kecaman apabila netizen mula mempersoalkan pendiriannya susulan kontroversi melibatkan perdebatan netizen dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia yang kini sedang hangat diperkatakan.
Hasil tinjauan dalam media sosial, segelintir netizen meminta Alif supaya menamatkan kerjasama dan tidak lagi mempromosikan produk berkenaan yang cuba mencetuskan ‘perang’ antara dua negara.









