KUALA LUMPUR: Gading Kencana menyasarkan potensi pelaburan baharu berjumlah RM4.8 bilion menerusi pembangunan projek solar berskala besar dan pembekalan tenaga kepada pusat data.

Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Dr. Ir. Muhamad Guntur Tobeng berkata, peluang itu merangkumi projek solar berkapasiti 100 megawatt (MW) menerusi tender Solar Skala Besar (LSS6) yang dianggarkan memerlukan pelaburan RM800 juta, serta pembekalan tenaga kepada pusat data berkapasiti sehingga 600MW dengan anggaran pelaburan RM4 bilion.

“Kedua-dua peluang berkenaan merupakan sebahagian daripada saluran projek (pipeline) Gading Kencana yang kini mencecah kira-kira 2,000MW.

“Selain itu, kami turut mengadakan perbincangan dengan pengendali pusat data bagi membekalkan tenaga solar berkapasiti sehingga 600MW yang berpotensi melibatkan pelaburan kira-kira RM4 bilion,” katanya selepas Majlis Pelancaran Rasmi Ladang Solar Gading Kencana di bawah CGPP di sini, baru-baru ini.