GERIK - Dua maut manakala dua lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori muatan ayam di Kilometer 49 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini pada Rabu.Dalam kejadian sekitar jam 12.50 malam itu, mangsa maut dikenali Normalizah Abd Manap, 36, dan Razali Shakri, 45, masing-masing pemandu dan penumpang kereta jenis Honda Civic.Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, seorang lagi penumpang kereta berkenaan, wanita berusia 41 tahun mengalami kecederaan patah tulang rusuk.Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dinaiki tiga mangsa itu dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Gerik. "Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan selepas melalui satu selekoh ke kiri sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori."Pel­anggaran melibatkan bahagian hadapan sebelah kanan kereta dengan bahagian kanan lori," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Beliau berkata, pemandu lori berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat."Kedua-dua kenderaan terbabit turut ditahan bagi tujuan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)."Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan kejadian itu diterima jam 12.52 malam."Jentera tiba di lokasi pada jam 1.55 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh 60 kilometer."Ketua operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan di sini.Operasi menyelamat melibatkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi