Gerik: Dua maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki bertembung dengan lori di Kilometer 49, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Normalizah Abd Manap, 36, dan Razali Shakri, 45.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman, berkata nahas pada jam 1.15 pagi itu berlaku ketika kereta jenis Honda Civic yang dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Gerik hilang kawalan sebaik melalui selekoh ke kiri.

Beliau berkata, kereta dipandu wanita berusia 36 tahun itu kemudian terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah Gerik ke Jeli.