PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) bersedia membantu atlet negara, Muhammad Hafizuddin Roslin membina kerjaya baharu sebagai jurulatih selepas kemalangan jalan raya menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan penglibatan dalam sukan itu secara kompetitif. Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya berhasrat untuk memberikan peluang kepada atlet berusia 22 tahun itu untuk menceburi bidang kejurulatihan, khususnya pada peringkat negeri, sebagai sebahagian usaha memastikan masa depannya terpelihara."Kita perlu memikirkan bagaimana kerjaya dia selepas ini. Antara pilihan yang kita lihat adalah memberikan pendedahan awal kepadanya untuk menjadi jurulatih terutama pada peringkat negeri."Kita yakin kalau diberikan peluang kepada Udin (Hafizuddin) pada peringkat awal, dia boleh menimba pengalaman dan kita akan menyokong usaha untuk dia menjadi jurulatih negeri, khususnya di Perlis," katanya kepada pemberita selepas melawat atlet itu di sebuah hospital di sini pada Rabu.Ayub berkata, berdasarkan keadaan semasa, penglibatan Muhammad Hafizuddin dalam sukan angkat berat boleh dianggap berakhir, malah kecederaan yang dialaminya turut menyukarkan beliau untuk beralih ke sukan powerlifting.Beliau berkata, walaupun terdapat cadangan supaya Muhammad Hafizuddin mencuba sukan para seperti lontar peluru, pilihan itu masih perlu diteliti mengambil kira kecederaan pada tangan kanannya.Mengulas keadaan atlet itu, Ayub berkata, Muhammad Hafizuddin kini dalam keadaan semakin stabil selepas menjalani pembedahan dan sudah sedar sepenuhnya.Beliau berkata, atlet itu turut menunjukkan semangat positif ketika menerima kunjungan, termasuk mampu berbual, tersenyum dan bergurau walaupun berdepan ujian besar yang mengubah kehidupannya.Dalam pada itu, Ayub berkata, PABM turut meneliti bantuan dan sokongan jangka panjang bagi memastikan Muhammad Hafizuddin tidak terabai selepas insiden berkenaan.Beliau berkata, PABM sudah menyalurkan bantuan kepada atlet itu dan bersedia membantu keluarganya sekiranya memerlukan sokongan tambahan.Katanya, perbincangan turut diadakan bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengenai perlindungan kebajikan atlet menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), insurans dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB). Muhammad Hafizuddin dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) kira-kira 11 malam Isnin lepas yang mengakibatkan beliau mengalami kecederaan pada bahagian kaki, bahu dan kepala.Berdasarkan pemeriksaan awal, beliau turut mengalami komplikasi hematoma pada bahagian bahu kanan.Ayub sebelum ini dilaporkan berkata, Muhammad Hafizuddin telah selesai menjalani pembedahan namun tangan kanannya terpaksa dipotong bagi mengelakkan komplikasi serius yang boleh mengancam nyawa. - Bernama