Kuala Lumpur: Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin selesai menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi, namun tangan kanannya tidak dapat diselamatkan kerana terpaksa dipotong.

Perkara itu disahkan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat yang memaklumkan tindakan memotong tangan atlet berusia 22 tahun itu dibuat atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya.

"Udin selesai menjalani pembedahan lebih tujuh jam tadi di HKL. Doktor cuba menyelamatkan tangannya. Tetapi tangan kanannya terpaksa dipotong paras atas siku yang mungkin mengancam nyawanya," katanya ketika dihubungi.

Hafizuddin yang mesra disapa Udin sebelum ini dilaporkan terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil kira-kira jam 11 malam, semalam.