PETALING JAYA – Golongan muda khususnya mahasiswa menaruh harapan tinggi agar Belanjawan 2027 yang dibentangkan esok memberi tumpuan serentak kepada isu pengangguran, kos sara hidup serta penyediaan peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan akademik.

Menurut mereka, tuntutan terhadap penawaran kadar gaji yang adil serta pengenalan insentif praktikal bagi mengurangkan beban harian menjadi agenda utama yang diperjuangkan orang muda dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

Pelatih industri Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Alif Aiman Sahri, 23, berkata, pasaran kerja domestik perlu lebih inklusif dengan tawaran gaji munasabah serta menghubungkan terus latihan kemahiran ­dengan sektor industri.