KUALA PILAH: Dua remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh pelajar Tingkatan Dua di sini, hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, antara jam 7.30 malam hingga 8.50 malam di dalam asrama sekolah di Kuala Pilah, 25 September lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan, boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun serta disebat minimum 12 kali.