KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Sarawak dijangka bermula dalam Siri 3/2028, yang dijadualkan berlangsung dari Julai hingga Ogos 2028.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata latihan akan diadakan di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 511, Rejimen 511 Askar Wataniah, Kem Semantan, Sarawak dengan kapasiti maksimum seramai 300 pelatih.

Katanya, daripada jumlah itu, 60 peratus kuota diperuntukkan kepada peserta dari Sarawak, diikuti Sabah (30 peratus) dan Kuala Lumpur (10 peratus) bagi meningkatkan penyertaan Malaysia Timur serta memperkukuh perpaduan nasional.

Beliau berkata, pengambilan pelatih pula dibuat melalui dua kaedah, iaitu undian secara rawak dan permohonan secara sukarela, bertujuan memastikan penyertaan pelatih secara seimbang melalui pemilihan bersyarat serta kesediaan menyertai program secara sukarela.