KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer terkenal, Aina Abdul menyifatkan pertandingan Eurovision Song Contest Asia yang bakal disertainya bulan hadapan di Bangkok, Thailand ibarat temasya Olimpik buat seorang penyanyi.
Menurut Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 33, pentas Eurovison Asia sangat besar dan dia mahu mengharumkan nama negara di mata dunia sebaik mungkin.
“Sejujurnya pertandingan Eurovision ini Ibarat sukan Olimpik buat penyanyi. Saya ialah atlet yang mewakili negara.
“Saya sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada TV3 kerana memilih saya dalam ramai-ramai penyanyi hebat di negara kita.
“Peluang ini hanya datang sekali seumur hidup. Saya harap saya boleh banggakan negara,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online pada sidang media Road To Eurovision – First Listen, di sini, semalam.









