KUALA LUMPUR: Grab menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan pemandu e-hailing dan rakan penghantaran p-hailing mulai 2027 tanpa menjejaskan tambang penumpang, di bawah cadangan rangka kerja pendapatan minimum.
Grab dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa persetujuan prinsip telah dicapai mengenai cadangan kadar asas minimum bagi pekerja e-hailing dan p-hailing.
"Majlis Perundingan Gig akan meneruskan perbincangan bagi menentukan kadar muktamad," menurut kenyataan itu.
Kenyataan Grab itu adalah susulan pengumuman Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, bahawa kerajaan dan Grab akan membiayai bersama pakej bernilai RM160 juta untuk meningkatkan pendapatan dan kebajikan pekerja gig.






