JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memuji mentaliti kemenangan yang ditampilkan anak buahnya selepas membenam kelab Kemboja, Preah Khan Reach (PKR) Svay Rieng FC 6-0 dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee.
Xisco berkata, perkara paling penting bukan sekadar jumlah jaringan yang dihasilkan, sebaliknya kemampuan pemainnya memahami corak permainan lawan dan melaksanakan perancangan pasukan dengan berkesan.
“Kami perlu memahami situasi permainan, bagaimana hendak berlari ke ruang, melakukan larian di belakang pertahanan dan mencari peluang untuk menyerang dari dalam atau belakang benteng lawan.
“Perkara paling penting adalah kami terus berpegang kepada idea permainan sendiri dan memahami apa yang perlu dilakukan dalam setiap situasi,”katanya.









