PENINGKATAN tempoh cuti bersalin kepada maksimum 98 hari bagi setiap kelahiran satu pengiktirafan terhadap keperluan wanita dalam mengimbangi tanggungjawab pekerjaan, pemulihan selepas bersalin dan penjagaan anak.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Rajwani Md Zain berkata, tempoh cuti yang lebih panjang memberikan ruang kepada ibu menyesuaikan diri dengan perubahan kehidupan selepas kelahiran.

Beliau berkata, dari aspek kebajikan anak, masa yang diluangkan bersama ibu pada peringkat awal kehidupan penting untuk membina hubungan erat dan keperluan bayi difahami dengan lebih baik.

Peningkatan kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan kepada 490 hari turut memberikan fleksibiliti lebih besar kepada penjawat awam wanita untuk memanfaatkan kemudahan itu bagi kelahiran seterusnya, tertakluk kepada peraturan pelaksanaan.