JOHOR BAHRU: Polis Johor mengaktifkan semua 13 Pusat Kawalan Daerah (DCC) di seluruh negeri, berkuat kuasa semalam dalam usaha menyelaras dan memantau situasi jerebu bersama Kerajaan Negeri Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata langkah berkenaan diambil susulan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor bagi memastikan isu serta masalah jerebu yang melanda ketika ini dapat ditangani secara berkesan.
Beliau berkata, pengaktifan DCC di peringkat daerah itu membolehkan pemantauan berterusan dijalankan dari semasa ke semasa mengikut kawasan masing-masing.
"Isu jerebu, semalam kita turut aktifkan semua pusat kawalan daerah untuk pantau situasi jerebu di daerah masing-masing untuk kita bersama-sama kerajaan negeri tangani isu-isu atau masalah jerebu yang melanda Johor," katanya ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor bagi Oktober 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.








