Shah Alam: Pemandu lori yang terbabit kemalangan merempuh 12 kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari, di sini, Jumaat lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga mencederakan empat individu dan mengambil barang terlarang itu.
Tertuduh, C Agilan, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu dalam keadaan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine yang menyebabkan kecederaan kepada empat individu berusia 58, 53, 17 dan 29 tahun.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 44(1A) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut seksyen akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda RM30,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.









