TRAGEDI membabitkan aktiviti selam skuba di Pulau Tioman baru-baru ini wajar membuka ruang kepada penelitian serius terhadap aspek keselamatan industri pelancongan selam skuba negara.

Dua kematian membabitkan aktiviti selam skuba rekreasi di destinasi sama dalam tempoh kurang sebulan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi Tioman antara destinasi pelancongan marin terkenal negara.

Pada 30 September lalu, seorang pelancong meninggal dunia ketika menyertai aktiviti selam skuba berhampiran Kampung Salang, Pulau Tioman. Sebelum itu, pada 12 September, seorang lagi pelancong asing meninggal dunia selepas menjalani aktiviti menyelam di Tioman.

Dua insiden lemas dalam tempoh singkat di lokasi sama seharusnya menjadi isyarat jelas kepada pihak berkuasa supaya aspek keselamatan aktiviti selam skuba diteliti secara menyeluruh dan segera.