Kuala Lumpur: Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen menuntut Leong Jun Hao menilai secara jujur punca prestasinya tidak konsisten selepas pemain perseorangan lelaki negara itu sekali lagi tersingkir awal di Terbuka Denmark, semalam.
Jonassen mengakui Jun Hao yang berusia 27 tahun masih belum memenuhi jangkaannya, sambil menegaskan pemain itu perlu meningkatkan konsistensi dan kemampuan bersaing jika mahu mencapai sasaran mara ke suku akhir kejohanan.
"Dia belum memenuhi jangkaan saya. Dia ada mempamerkan beberapa persembahan yang baik, tetapi tidak pernah lebih daripada satu dalam kejohanan yang sama.
"Pada usia dan pengalaman yang dimilikinya, dia perlu menilai secara jujur mengapa perkara ini berlaku. Mengambil tanggungjawab terhadap prestasi sendiri amat penting," katanya ketika dihubungi.










