Seoul: Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang dituduh membunuh warga emas berusia lingkungan 70-an turut didakwa mencuri kad kredit mangsa dan menggunakannya untuk berbelanja sebanyak lima juta won (kira-kira RM15,237) selepas kejadian.
Memetik Seoul Economic Daily, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian menunjukkan suspek yang dikenali sebagai A keluar dengan membawa telefon bimbit, kad kredit dan barangan lain milik mangsa, menurut polis pada 13 Oktober lalu.
A dituduh membunuh mangsa yang hanya dikenal pasti sebagai B di sebuah rumah di daerah Seongbuk, Seoul, pada 3 Oktober lalu sebelum mencuri telefon bimbit dan kad milik mangsa.
Susulan itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap A pada 7 Oktober atas risiko suspek memusnahkan bukti dan melarikan diri.






