Kuala Lumpur: Selangor melancarkan tiga inisiatif baharu bagi memperkukuh ekosistem pelaburan negeri itu, meliputi promosi peluang pelaburan, pembangunan bakat dan peningkatan daya tarikan taman perindustrian kepada pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan keterlihatan serta daya saing Selangor sebagai destinasi pelaburan pilihan selain memudahkan pelabur mendapatkan maklumat dan mengakses kemudahan perindustrian yang bersesuaian.

Tiga inisiatif itu ialah penerbitan buku promosi pelaburan Selangor, pelancaran laporan 'Elevating Selangor's Potential as a Global Talent Powerhouse' dan program 'Invest Selangor Preferred Industrial Park'.