KUALA LUMPUR: Selangor menyasarkan peralihan daripada aktiviti pemasangan kepada reka bentuk cip dan kejuruteraan teknologi bernilai tinggi bagi memperkukuh kedudukannya dalam rantaian nilai semikonduktor global.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, negeri itu tidak lagi mahu bergantung kepada persaingan berasaskan kos buruh rendah, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga mahir, teknologi termaju dan hubungan pelaburan jangka panjang.
Katanya, peralihan itu penting bagi memastikan Selangor mampu bersaing dalam industri bernilai tinggi, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC), automasi elektronik, pembangunan data dan harta intelek.
“Bersama-sama, kita sedang mengubah hala tuju daripada ‘buatan Malaysia’ kepada ‘direka bentuk dan direkayasa oleh Malaysia’,” katanya.









