PETALING JAYA: Cadangan memperkenalkan indikator khusus gaji bermaruah bagi mengukur keberhasilan institusi pengajian tinggi (IPT) perlu mengambil kira perbezaan struktur gaji dan kos sara hidup mengikut wilayah bagi mengelakkan penilaian tidak adil terhadap graduan.

Bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, penggunaan indikator itu berisiko mendiskriminasi graduan yang bekerja di luar bandar atau negeri berpendapatan rendah.

Katanya, pasaran buruh di kawasan berkenaan lazimnya menawarkan gaji lebih rendah berbanding pusat ekonomi metropolitan, sekali gus memberikan gambaran tidak seimbang terhadap kebolehpasaran graduan.

“Sekiranya tanda aras gaji sama digunakan tanpa mengambil kira perbezaan ekonomi antara wilayah, graduan boleh dinilai secara tidak adil.