BATU PAHAT – Keluarga remaja lelaki yang didakwa membunuh Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan tidak wajar berhubung kes berkenaan di media sosial.

Peguam yang mewakili tertuduh, Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias berkata, tindakan itu dipertimbangkan bagi membendung penyebaran komen dan dakwaan yang tidak berasas ketika prosiding mahkamah masih berjalan.

Menurutnya, tertuduh baru sahaja didakwa di mahkamah dan belum dibuktikan bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.