KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Ahmad Norihan Jalal, dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand, menggantikan Datuk Mohd Rabin Basir.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa kerajaan yakin pengalaman, kewibawaan dan kepimpinan Ahmad Norihan mampu memperkukuhkan peranan Malaysia sebagai fasilitator yang mendapat kepercayaan semua pihak, di samping memberi momentum baharu kepada dialog berkenaan melalui pendekatan lebih menyeluruh serta berorientasikan penyelesaian.

Menurutnya, Ahmad Norihan memiliki pengalaman lebih 33 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kepakaran dalam perisikan strategik, risikan pertahanan, analisis keselamatan, dan pengurusan operasi pada peringkat nasional serta antarabangsa.