LONDON – Pelumba Sepanyol, Pedro Acosta menyangkal dakwaan kononnya keputusannya menyertai pasukan kilang Ducati pada musim depan didorong oleh keinginan untuk menewaskan Marc Marquez.
Penjelasan itu dibuat Acosta bagi menjawab kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTM, Gottfried Neumeister baru-baru ini yang mendakwa pelumba berusia 22 tahun itu menolak tawaran lumayan pasukannya semata-mata kerana mahu menewaskan rakan sepasukan baharunya itu, Marquez dengan ‘senjata’ yang serupa.
Acosta yang menghadiahkan kemenangan pertama KTM dalam tempoh empat tahun pada Grand Prix (GP) Austria menegaskan, perpindahannya ke Ducati adalah demi kepentingan jangka panjang kariernya selain peluang keemasan menimba ilmu daripada juara dunia sembilan kali itu.










