PETALING JAYA: Pelan MediAsas yang dijadualkan dilancarkan pada Januari 2027 dijangka menjadi jaringan perlindungan kewangan dan kesihatan bagi golongan pertengahan (M40) yang semakin terbeban dengan peningkatan kos perubatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelan tersebut bakal memberi perlindungan kepada golongan M40 dengan kos tanpa caj tersembunyi mahupun melampau.

“Ketika ini sejumlah 340,000 polisi insurans swasta dilepaskan (surrender) oleh pemegang polisi akibat tidak mampu membayar premium swasta, dan rakyat membanjiri fasiliti kerajaan, justeru kementerian tampil dengan jaringan keselamatan kewangan ini.

“Tiada rakyat yang patut jatuh miskin hanya kerana mahu berubat, justeru perlindungan kewangan kesihatan MADANI ini tampil dengan menawarkan skim perlindungan asas mampu milik,” katanya di Facebook hari ini.