Ayer Keroh: Krisis adat di Negeri Sembilan (NS) tidak ada kena mengena dengan Melaka sehingga boleh menjejaskan persiapan jentera Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang Timbalan Pengerusi BN berkata pengundi negeri ini masih `waras' untuk menilai naratif yang dimainkan pihak tertentu untuk mengaitkan krisis berkenaan dengan parti itu serta penduduk Melaka.

"Saya tak yakin ia ada kena-mengena dengan Melaka. Orang Melaka ni waras semuanya," katanya selepas menutup Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) Kali Ke-10 di Hotel Ames, di sini hari ini.

Beliau mengulas kesan daripada krisis adat yang melanda NS ketika ini terhadap persiapan BN bagi menghadapi PRN Melaka termasuk dari segi sokongan rakyat. NS ketika ini ditadbir oleh BN dibawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.