KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu ghairah untuk mengaut pulangan kononnya sehingga RM25,000 dengan hanya bermodalkan RM450, seorang suri rumah kerugian RM87,975.04 akibat diperdaya skim pelaburan yang tidak wujud.
Tambah parah, wanita warga emas berusia 63 tahun tersebut sanggup menggadai barang kemasnya semata-mata untuk menyertai skim pelaburan palsu berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, suri rumah tersebut tertarik dengan iklan skim pelaburan saham tersebut yang dilihatnya di laman Facebook pada pukul 10 pagi, 3 Oktober lalu.
“Mangsa kemudian menekan pautan diberikan sebelum telah dihubungkan dengan dua individu tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa kononnya mereka merupakan konsultan skim pelaburan itu.









