Soalan (S): Adakah tawaran Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk meletakkan jawatan sebagai menteri memadai bagi membuktikan pendirian DAP terhadap isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?
Jawapan (J): Tawaran itu pada awalnya bertujuan meredakan ketidakpuasan hati dalam kalangan anggota DAP susulan keputusan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib. Ia juga dilihat sebagai usaha meyakinkan pengundi Cina bahawa DAP masih sebuah parti berpegang kepada prinsip. Bagaimanapun, apabila tawaran meletakkan jawatan dibuat, tetapi Loke masih kekal sebagai menteri, timbul persoalan mengenai ketegasan pendirian itu.
Apabila peletakan jawatan dikaitkan dengan syarat atau perkembangan tertentu, sebahagian pihak mungkin melihatnya sebagai usaha mengekalkan kedudukan politik, sekali gus menjejaskan kelebihan moral cuba ditampilkan. DAP perlu memastikan tindakan pemimpinnya selari dengan kenyataan dibuat. Jika tidak, ia boleh dilihat sebagai sandiwara politik dan menambahkan kekecewaan penyokong.









