KUALA LUMPUR: Tidak pernah terlintas di fikiran Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bahawa kunjungannya ke studio Les' Copaque Production pada 2012 akan berakhir dengan beliau berada di bilik rakaman, menyumbangkan suara untuk siri animasi popular, Upin & Ipin.
Lawatan yang pada asalnya sekadar memenuhi permintaan untuk melihat sendiri operasi produksi itu bertukar menjadi pengalaman tidak diduga apabila isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tampil sebagai cameo dalam siri animasi berkenaan.
Lebih menarik, watak itu bukan dirancang lebih awal, sebaliknya tercetus secara spontan ketika Allahyarham Dr Siti Hasmah berada di premis produksi berkenaan.
Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Datuk Burhanuddin Md Radzi, berkata sesi rakaman yang pada awalnya dijangka mudah kerana hanya membabitkan beberapa minit dialog, ternyata mengambil masa lebih lama.








