KUANTAN: Baru lima bulan mendirikan rumah tangga, sepasang suami isteri kini terpaksa ‘berbulan madu’ di lokap selepas kegiatan mereka sebagai penghantar ataupun transporter dadah terbongkar.
Kedua-dua suspek berusia 40 tahun hingga 46 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang yang membuat serbuan ke sebuah rumah di daerah ini pada 12 Oktober lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu, polis merampas pelbagai jenis dadah seberat 6.315 kilogram yang dianggarkan bernilai RM291,250.
“Antara dadah dirampas adalah 2,170 gram cecair ganja, 1,905 gram heroin, 725 gram pil yaba dan 1,515 gram pil Erimin-5. Jika kesemua dadah ini terlepas ke pasaran, ia mampu merosakkan seramai 20,945 orang yang menggunakannya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) di sini, hari ini.









