KOTA BHARU: Penahanan aktivis media sosial, Mohd. Azhan Mohd. Adnan atau Abbe Hae bersama 15 individu lain yang menggempur kawasan warga asing dan etnik Rohingya di sini, Jumaat lalu adalah prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan polis.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima beberapa laporan berkaitan kes ketenteraman awam dan samun barangan kemas ketika aktiviti tersebut dijalankan.

Katanya, tindakan polis mengambil cap jari dan menjalankan kawad cam terhadap individu terbabit adalah prosedur biasa bagi menentukan sama ada mereka merupakan individu yang dinamakan dalam laporan berkenaan.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan kita menjalankan siasatan. Prosedur mengambil cap jari dan kawad cam itu perkara biasa untuk menentukan sama ada individu yang dituduh dalam laporan merupakan orang yang sama atau sebaliknya.