MARANG: Seorang banduan didakwa di Mahkamah Majistret Marang di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang banduan lain di Penjara Marang, hujung Ogos lalu.
Che Mohd. Nazzaruddin Che Ros, 36, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Athirah Hashim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nor Mohd. Helmi Sahari, 38, di Zon 2 bilik R10, Penjara Marang antara pukul 8.45 pagi hingga 9.15 pagi pada 24 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun. Sekiranya hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki yang berumur di bawah 50 tahun juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.










