Kuala Lumpur: Penganjuran Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 dilihat mampu menjadi platform penting dalam usaha mengembalikan kegemilangan sepak takraw negara selain membuka peluang kepada bakat muda untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.
Legenda sepak takraw Malaysia, Malik Samsudin berkata, kejohanan bawah 16 tahun itu menunjukkan perkembangan positif apabila peserta mempamerkan prestasi yang menepati tahap diharapkan, sekali gus memberi petanda baik terhadap masa depan sukan berkenaan.
"Walaupun kejohanan ini membabitkan pemain bawah 16 tahun, kita dapat melihat prestasi mereka mencapai tahap yang kita ketengahkan. Kebanyakan pemain juga mula menunjukkan minat semula terhadap sepak takraw selepas kejayaan pasukan Malaysia baru-baru ini.









