PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya seorang menteri menerima RM9.5 juta daripada seorang ahli perniagaan bagi menyelesaikan isu berkaitan mafia korporat.
Beliau turut menyifatkan dakwaan terbabit sebagai kenyataan politik yang tidak disokong bukti, sambil menegaskan bahawa sebarang tuduhan rasuah perlu disiasat tanpa pengecualian.
“Tuduhan mengenai RM9.5 juta itu adalah kenyataan politik yang tidak disokong oleh sebarang bukti. Menteri berkenaan telah mencabarnya dan membawa perkara itu ke mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa isu rasuah tidak terkecuali kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ditangani secara adil tanpa mengira kedudukan atau hubungan seseorang dengan kerajaan.








