Longyearbyen, Norway: Penduduk di sebuah bandar terpencil di Norway yang terletak di salah satu kawasan paling cepat mengalami pemanasan di dunia diarahkan supaya tidak lagi meminum air paip berikutan pencemaran logam berat yang dikaitkan saintis dengan pencairan tanah beku kekal (permafrost), lapor The Guardian.

Longyearbyen di Kepulauan Svalbard memperoleh sebahagian besar bekalan air minumannya daripada tasik takungan sepanjang 2.5 kilometer dikenali sebagai Isdammen atau 'kolam ais'.

Peningkatan suhu akibat perubahan iklim menyebabkan permafrost mencair, sekali gus mendedahkan batuan dasar yang membebaskan logam ke dalam tasik berkenaan.

Terletak kira-kira 1,287 kilometer dari Kutub Utara, Longyearbyen mengalami pemanasan pada kadar lima hingga tujuh kali ganda berbanding purata dunia dengan suhu musim luruh meningkat sehingga empat darjah Celsius dalam tempoh sedekad.