Kuala Lumpur: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam proses pulih daripada lebam di bawah mata dan pipi kanan akibat terjatuh ketika sesi latihan untuk Konsert Tradisional Gema Bumantara, baru-baru ini.

Siti Nurhaliza berkongsi perkembangan terbaharu menerusi hantaran di Instagram (IG) dengan memaklumkan keadaan lebam makin baik, namun tulang pipi masih terasa bengkak.

"Tinggal hendak hilangkan lebam ini sahaja, sakit tiada kecuali bahagian tulang pipi masih rasa bengkak.

"Alhamdulillah, semuanya adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada saya," tulisnya sambil memuat naik foto memaparkan bahagian wajah yang cedera.